Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, mengakui kekalahan pasukannya kepada Liverpool menjejaskan keyakinan mereka hingga membawa kepada kekalahan 1-0 kepada Gent dalam Liga Europa, awal pagi tadi.

Kekalahan 2-0 dalam aksi Liga Perdana di Anfield itu menamatkan rekod tanpa kalah Spurs dalam 11 perlawanan dalam semua pertandingan.

Dan kesebelasan Pochettino terus gagal mempamerkan persembahan terbaik yang menyaksikan mereka tunduk dalam pertemuan pertama pusingan 32 di Ghelamco Arena, awal pagi tadi.

Satu kunjungan merentasi London untuk berdepan Fulham dalam Piala FA menanti Spurs sebelum mereka cuba menerbalikkan kedudukan ketika melayani Gent di Wembley dan Pochettino menggesa pasukannya untuk mengembalikan persembahan terbaik mereka.

“Sehingga kekalahan kepada Liverpool itu, kami sedang menikmati satu rentetan yang baik,” katanya. “Selepas ditewaskan Liverpool, barangkali keyakinan kami menjunam sedikit tapi hari ini adalah satu saingan berbeza. Semua yang menonton tahu ia bukan permainan terbaik kami.

Jaringan Jeremy Perbet dalam separuh masa kedua memberi Gent kelebihan untuk menghadapi pertemuan kedua di Wembley – gelanggang sementara Tottenham dalam saingan Eropah – tapi Pochettino enggan mengalah selepas menyaksikan pasukannya bergelut di Belgium.

“Ia bukan hanya 90 minit, itu hanya pertemuan peringkat pertama.

“Separuh masa pertama adalah seimbang. Dalam separuh masa kedua, kami menukar formasi untuk mencari penyelesaian dan bermain lebih baik, dan sedang kami meningkat, kami bolos satu gol.

“Ya, saya kecewa kerana kami memiliki banyak peluang, dua atau tiga daripadanya peluang terbuka, sebelum kami dibolosi.

“Ia sentiasa sukar dalam Liga Europa. Kini kami perlu berjuang dari mula untuk menerbalikkan keputusan dan cuba memenangi perlawanan timbal balik di Wembley,” katanya.