Ketua Jurulatih Majlis Perbandaran Kota Bharu –Bandar Raya Islam Urus setia Belia dan Sukan (MPKB-BRI Ubes FC), Kamaruddin Mohammad berpuas hati dengan persembahan pemainnya yang mampu memberi saingan hebat biarpun tewas 1-0 kepada skuad Liga Super, Pulau Pinang dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke- IV, malam kelmarin.

Kamaruddin, yang juga bekas penolong jurulatih The Red Warriors (TRW) musim lepas berkata, kekalahan tipis itu juga sebagai isyarat awal skuadnya mampu menghadirkan cabaran sengit kepada pasukan lain dalam Piala FAM yang akan membuka gelanggang pada 19 Februari ini.

“Alhamdulillah, pemain beraksi dengan baik dan mampu memberi saingan kepada pasukan Pulau Pinang yang dibarisi oleh pemain import yang hebat. Hanya pengalaman memisahkan kami dan saya cukup berpuas hati dengan semangat yang ditunjukkan oleh pemain.

“Saya yakin perlawanan akan menjadi lebih sengit jika penyerang, Mohammad Fikram Mohammad mampu menyudahkan peluang terbaik di depan gawang lawan,”katanya kepada media selepas tamat perlawanan.

Ditanya mengenai peluang MPKB-BRI Ubes FC dalam saingan Piala FAM, Kamaruddin yakin jika pemain Kijang Merah beraksi sebagaimana yang ditunjukkan menentang skuad Harimau Kumbang, mereka mampu mencapai sasaran empat terbaik dalam Kumpulan A.

“Jika prestasi ini mampu dikekalkan, saya yakin kami mampu memberi saingan hebat kepada pasukan lawan dalam Kumpulan A dan berada dalam kelompok empat pasukan terbaik,”katanya.

Dalam saingan pusingan kedua kalah mati Piala FA, skuad Kijang Merah mampu memaksa skuad kendalian Ashley Westwood mempamerkan aksi lebih baik untuk meraih kemenangan melalui jaringan pemain import, Nigel Dabinyaba pada minit ke-41.