Tite kekal sebagai calon utama untuk memimpin Brazil dalam pemburuan gelaran Piala Dunia 2022 biarpun skuad bimbingannya tersungkur dalam suku akhir temasya Russia 2018, kata bekas kapten Selecao, Kaka.

Brazil merupakan pasukan pilihan untuk meraih gelaran dunia keenam tetapi tumpas kepada Belgium dalam pertembungan mendebarkan di Kazan, dengan gol daripada pemain gantian, Renato Augusto, gagal memadam kesilapan jaringan sendiri Fernandinho pada separuh pertama serta serangan hebat oleh Kevin De Bruyne.

Kaka akur dengan harapan di tanah airnya memandangkan Tite dan skuadnya tidak diraikan meskipun mendominasi kempen kelayakan. Justeru, bekas bintang AC Milan berkenaan percaya Brazil berada di landasan yang betul.

"Di Brazil, ia sentiasa dianggap sebagai gagal untuk tidak mencapai kejayaan," kata Kaka yang mewakili Adidas kepada Omnisport.

"Bagaimanapun, saya suka melihat sisi positif dan perkara-perkara menarik yang berlaku. Saya percaya kami telah mengharungi kempen Piala Dunia yang sangat baik -- khususnya perlawanan menentang Belgium di peringkat suku akhir adalah perlawanan yang hebat.

"Tahap teknikal adalah sangat tinggi. Ia pertempuran taktikal membabitkan kedua-dua jurulatih. Mereka memahami permainan dan membuat perubahan dalam strategi.

"Kemudian, berlaku (insiden malang) dalam perlawanan. Percubaan Thiago Silva terkena palang lalu terkeluar, sepakan (Vincent) Kompany mengenai Fernandinho lalu menerjah masuk ke gawang.

"Brazil mempunyai beberapa kelemahan, ada beberapa perkara yang perlu diperbetulkan jika Tite terus bertugas sebagai jurulatih. Dia akan dapat membuat penyesuaian sehingga 2022. Saya percaya bahawa Selecao telah mengharungi Piala Dunia yang baik."

Brazil akan berdepan Amerika Syarikat dalam perlawanan persahabatan di Stadium MetLife di New Jersey, 7 September nanti.