Pertahanan Harimau Malaysia, Ronny Harun, mengakui skuadnya terpaksa berputih mata susulan kekalahan tipis 0-1 di tangan Vietnam dalam perlawanan kedua Piala Suzuki AFF di Stadium Thuwunna, Yangon, petang semalam.

Ronny yang membarisi kesebelasan utama buat kali pertama dalam kejohanan berkenaan, membentuk gandingan ampuh bersama Shahrom Kalam.

Ia menyaksikan jentera serangan Vietnam dipaksa berhempas-pulas sebelum berjaya merobek gawang Malaysia, 11 minit menuju tamat masa sebenar.

Jaringan itu berpunca daripada keadaan kelam-kabut di depan gawang setelah pemain negara gagal mengeluarkan bola dengan kemas ke kawasan selamat.

"Disiplin tiada masalah tetapi dalam bola sepak kadang-kala senario yang menimpa agak kejam.

"Kami ada peluang tetapi gagal dilunaskan. Diharap nanti berdepan Myanmar, kami mampu melakar keputusan positif untuk mara ke separuh akhir," katanya.

Pertahanan berusia 34 tahun itu, bagaimanapun, optimis terhadap peluang skuad negara untuk melepasi halangan peringkat kumpulan.

Pandangan sama turut disuarakan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.

"Peluang sentiasa ada. Jadi, berdepan Myanmar nanti, kami akan fokus untuk menang sahaja," katanya.

Malaysia akan berdepan tuan rumah, Myanmar, Sabtu ini untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan, di mana skuad negara perlu mencari kemenangan untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Walaupun berkongsi tiga mata ketika ini, Myanmar berada di tangga kedua kumpulan B, di atas Malaysia, dengan kelebihan jaringan.


Anda juga boleh mendapat berita ini melalui Stadium Astro app. Muat turun sekarang https://www.stadiumastro.com/ms/mobile-app