JUVENTUS 1 ATALANTA 0

Jaringan penalti pemain tengah, Miralem Pjanic, cukup untuk mengesahkan kemenangan 2-0 Juventus menerusi agregat apabila menewaskan Atalanta 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua Piala Itali, awal pagi tadi.


Beraksi di Stadium Allianz, Massimiliano Allegri membuat keputusan untuk tidak menurunkan Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala yang direhatkan bagi aksi kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Tottenham Hotspur, Khamis depan.

Rembatan jarak jauh Douglas Costa pada minit ke-40 adalah satu-satunya percubaan berbahaya yang dapat disajikan oleh kedua-dua pasukan dalam separuh masa pertama kerana masing-masing tampak berhati-hati dalam melakukan setiap gerakan.

Empat minit babak kedua bersambung, Claudio Marchisio berpeluang mengubah kedudukan untuk menambah kelebihan buat Juventus, namun percubaannya dari sebelah kiri gawang pelawat sempat ditampan keluar oleh penjaga gol, Etrit Berisha.

Alejandro Gomez turut dihidangkan peluang untuk mengikat kedudukan menerusi agregat pada minit ke-63 tetapi sepakannya sekadar singgah ke tiang gol tatkala Gianluigi Buffon sudah pun terkeluar daripada posisi sebenar.

Ketika aksi berbaki 15 minit untuk ditamatkan, anak-anak buah Allegri dianugerahkan sepakan penalti selepas Gianluca Mancini menjatuhkan Blaise Matuidi, sebelum Pjanic tidak berdepan masalah untuk menyempurnakannya dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Juve akan melakukan perhitungan dengan AC Milan dalam aksi final pada 10 Mei depan, selepas skuad bimbingan Gennaro Gattuso itu mengatasi Lazio menerusi penentuan sepakan penalti dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, awal pagi tadi.