Jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, melakukan pengorbanan demi negara apabila memendekkan sambutan Tahun Baru Cina untuk menghadapi Kejohanan Futsal Antarabangsa Thailand di Songkhla awal bulan depan.

Skuad futsal negara mula menjalani latihan sejak kelmarin sempena tugasan antarabangsa pertama tahun ini.

Bagi menyertai kejohanan jemputan di Thailand itu, Chun Yong tidak mempunyai banyak masa untuk membentuk skuad mantap.

Ini kerana dia hanya mempunyai lapan hari untuk membuat penilaian sambil terikat dengan komitmen bersama keluarga bagi sambutan Tahun Baru Cina.

Dihimpit dengan situasi sukar, bekas pemain futsal negara itu sekadar meraikannya dengan sederhana.

"Setakat ini semua pemain dalam keadaan baik kecuali dua pemain senior, Mohd Khairul Effendi Bahrin dan Mohd Azwan Ismail, yang mengalami kecederaan," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Kejohanan yang akan disertai enam pasukan itu menyaksikan skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Thailand, dan Turkmenistan.

Dia juga akan memutuskan senarai akhir 14 pemain sebelum pasukannya berlepas ke Songkhla pada Jumaat depan.

"Kami sasar ke separuh akhir.

"Kami tidak hanya untuk menyertai kejohanan itu, malah kami juga mempunyai sasaran," katanya.



Editor: Shaiful Shamsudin