Walaupun sekadar bertemu pasukan tempatan, pengurus Sabah, Datuk Juil Nuatim, tetap menganggap jelajah mereka ke Keningau memberi pengajaran berguna, terutama kepada pemain muda.

"Ini satu pendedahan awal kerana ia yang pertama kami berlatih dan bermain di luar Kota Kinabalu, ia sebagai permulaan sebelum kami ke luar lagi bertemu dengan pasukan lain.

"Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang tidak kena dalam aksi persahabatan ini, terutama perlawanan kedua, kerana kami nampak ada pemain yang bersikap sambil lewa.

"Selepas diberi teguran oleh ketua jurulatih, baru mereka mula bermain. Mereka mesti tunjukkan mereka ini pemain Sabah. Apapun, secara keseluruhan saya puas hati walaupun bermain dengan keadaan padang yang sedikit becak," katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam dua aksi berkenaan, Sabah mudah menewaskan skuad Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Keningau dan Baracuda FC dengan kedua-dua perlawanan berkesudahan 3-0.

Dalam pada itu, Juil berkata kehadiran mereka ke Keningau juga sebenarnya memberi peluang kepada peminat bola sepak, khususnya di kawasan pedalaman, untuk menyaksikan sendiri pasukan negeri mereka bermain.

"Apatah lagi daerah Keningau banyak melahirkan bakat dalam bola sepak sehingga mewakili negeri, ia juga memberi peluang kepada mereka untuk bertemu dengan pemain-pemain Sabah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Juil berkata mereka kini dalam perancangan untuk mengadakan beberapa lagi perlawanan persahabatan di Semenanjung dan Singapura.

"Kami akan berlepas ke Johor pada 17 Januari ini untuk menghadiri pelancaran sebuah portal bola sepak dan kami mungkin mengambil peluang ini ke Singapura untuk bertemu dengan sekurang-kurangnya dua pasukan di sana.

"Selepas itu, kami juga mungkin akan ke Melaka untuk aksi persahabatan di sana. Kami perlu banyak aksi persahabatan, terutama dengan pasukan berkualiti, bagi memantapkan persiapan menghadapi Liga Malaysia musim ini," katanya.