Pertahanan Atletico Madrid, Juanfran, yakin bahawa rakan sepasukannya, Antoine Griezmann, kini gembira bersama skuad LaLiga itu walaupun dikaitkan dengan perpindahan sebelum ini.

Griezmann baru-baru ini dilaporkan menarik minat Barcelona sebagai pengganti buat Neymar yang semakin menghampiri jalan keluar ke Paris-Saint Germain (PSG).

Pemain Perancis itu menandatangani kontrak baru Jun lalu, sekaligus mengekalkannya di Madrid sehingga tahun 2022.

Bagaimanapun, Juanfran yakin Griezmann kini gembira di Atletico selepas membantu pasukannya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Napoli dalam aksi pra-musim Piala Audi, semalam.

“Griezmann gembira di Atletico dan kami mahu memberikan segala-galanya di sini,” kata Juanfran.

“Perpindahan kini terbuka dan ia tampak gila dan mampu memberi kesan kepada anda,” tambahnya.

Atletico bangkit selepas Napoli menjaringkan gol pertama, namun dua jaringan daripada Fernando Torres dan Luciano Vietto membawa Atletico ke final Piala Audi dan akan menentang Liverpool.

Dalam masa sama, Juanfran turut memuji pengurus, Diego Simeone, selepas berjaya mengemudi pasukannya ke prestasi terbaik dalam saingan pra-musim.

“Ia adalah kelebihan Simeone, jelas sekali dia mempengaruhi seluruh pasukan.

“Kami akan bermain dalam final Piala Audi dan itu yang Atletico mahukan,” tambahnya.