Pemain tengah Napoli, Jorginho, dijangka akan melengkapkan perpindahan ke Manchester City dalam masa beberapa hari lagi selepas disahkan oleh presiden kelab Itali itu, Aurelio De Laurentiis.

Selepas dilaporkan menolak bidaan berjumlah EUR50 juta (RM234 juta) sebelum ini, De Laurentiis mendedahkan City semakin hampir untuk memenuhi tuntutan bagi mendapatkan Jorginho serta memberikan kerjasama yang baik dalam proses perbincangan.

Pemain skuad kebangsaan Itali itu melakukan 133 penampilan dalam saingan Serie A buat Napoli sejak tiba dari Hellas Verona pada 2014, dengan menjaringkan dua gol bagi membantu Partenopei menamatkan musim 2017/18 selaku naib juara di belakang Juventus.

"Saya rasa persetujuan akan dicapai dalam masa beberapa hari lagi," ujar De Laurentiis.

"Segalanya boleh berlaku memandangkan kami memiliki hubungan yang baik dengan Manchester City tetapi kami harus berbincang.

"Setakat ini, jumlah perpindahan masih belum dipersetujui tetapi kami semakin hampir kepada penyelesaian perbincangan ini tatkala mereka berusaha keras sejak beberapa hari lalu."