Joao Felix jadi sandaran, Andre Silva disisihkan Portugal

By Staff Writer 24 May 2019 884
Joao Felix jadi sandaran, Andre Silva disisihkan Portugal
Andre Silva diketepikan daripada skuad Portugal bimbingan Fernando Santos untuk mengharungi kempen pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah atas faktor kecergasan dan ketiadaannya bakal membuka jalan kepada Joao Felix membuat kemunculan sulung dalam skuad senior, bulan depan.

Silva tidak tersenarai dalam skuad 23 pemain menjelang kempen di tanah airnya itu selepas tidak diturunkan Sevilla sejak 4 April lalu. 

Kecederaan lutut memaksanya menamatkan kempennya di Sepanyol lebih awal tetapi kelab LaLiga tersebut yang meminjamnya daripada AC Milan mendakwa Silva sengaja membesar-besarkan masalah itu selain meminta Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) agar campur tangan jika dia terpilih untuk membarisi negaranya untuk aksi Liga Negara-Negara Eropah. 

Pemain berusia 23 tahun itu memberitahu A Bola bahawa dia seorang yang jujur dan sama sekali tidak akan berpura-pura mengenai tahap kecederaannya. 

Begitupun, semalam, Santos mengesahkan keputusan untuk mengetepikan Silva didorong nasihat pasukan perubatan Portugal.

"Andre Silva dipantau oleh jabatan perubatan dan laporan akhir menganggapnya sebagai tidak sesuai untuk kempen kali ini," katanya dalam sidang media.

Cristiano Ronaldo turut tersenarai di samping pemain remaja sensasi Benfica, Felix.

Pemain berusia 19 tahun tersebut mula dipanggil untuk kelayakan Euro 2020 menentang Ukraine dan Serbia, Mac lalu, walaupun dia tidak membuat penampilan dalam perlawanan.

Bagaimanapun, Santos mengesahkan bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mempertaruhkan penggempur yang dikaitkan dengan Real Madrid dan Manchester United itu.

"Kriteria untuk terpilih dalam skuad ini adalah kualiti. Felix merupakan salah seorang daripada 23 pemain skuad ini yang boleh beraksi," kata Santos.

Juara Eropah itu akan menghadapi Switzerland dalam aksi separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah, 6 Jun ini. 

Panggilan penuh skuad Portugal:

Beto (Goztepe), Jose Sa (Olympiacos), Rui Patricio (Wolves); Joao Cancelo (Juventus), Ruben Dias (Benfica), Jose Fonte (Lille), Raphael Guerreiro (Borussia Dortmund), Pepe (Porto), Mario Rui (Napoli), Nelson Semedo (Barcelona); William Carvalho (Real Betis), Bruno Fernandes (Sporting CP), Joao Moutinho (Wolves), Ruben Neves (Wolves), Danilo Pereira (Porto), Pizzi (Benfica); Joao Felix (Benfica), Goncalo Guedes (Valencia), Diogo Jota (Wolves), Cristiano Ronaldo (Juventus), Bernardo Silva (Manchester City), Rafa Silva (Benfica)
 

About Author

Staff Writer

Comment