Kapten Sabah, Rawilson Batuil, tidak mahu hanya menjadi sekadar pelengkap senarai, sebaliknya berazam untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.

Pertahanan berusia 24 tahun itu adalah antara 29 pemain yang dipanggil bagi menyertai pasukan negara bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” bertemu Mongolia di Stadium Nasional Bukit Jalil, minggu depan.

Selain itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu juga sedang melakukan persiapan bagi menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut, pada 27 Mac ini.

"Dipanggil menyertai kem latihan skuad senior negara sudah pasti menjadi kebanggaan bagi saya, namun saya tidak mahu menjadi sekadar pelengkap senarai.

"Memang sukar. Jika kita lihat senarai pemain yang dipanggil, ramai nama-nama besar dan tidak kurang juga pemain naturalisasi yang disenaraikan.

"Bagaimanapun, saya menganggapnya sebagai satu cabaran dan saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan yang saya juga layak membarisi pasukan negara," kata Rawilson ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, pengendali Sabah, Jelius Ating, berharap Rawilson yang lebih mesra dipanggil 'Jipun' oleh rakan sepasukannya, dapat mengambil peluang berkenaan sebaik mungkin.

"Saya berkata kepada Rawilson, dipanggil menyertai kem latihan pasukan negara telah mengangkat dia ke satu tahap lebih tinggi dan ini adalah permulaan kejayaan dalam kariernya.

"Daripada semua pemain yang bermain dalam Liga Malaysia, dia (Rawilson) antara yang dipanggil dan saya harap dia akan bersungguh-sungguh di sana nanti untuk merebut tempat dalam skuad utama," katanya.