REPUBLIK CZECH 1 BRAZIL 3

Gabriel Jesus mungkin penyelamat Brazil, namun dia menyalahkan percaturan ketua jurulatih, Tite, selepas pasukan itu bergelut untuk menundukkan Republik Czech 3-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Sinobo, awal pagi tadi.


Tite melakukan enam perubahan pemain daripada kesebelasan utama ketika mereka diikat Panama 1-1, Sabtu lalu, dengan Casemiro, Lucas Paqueta, Philippe Coutinho, Richarlison dan Roberto Firmino mengekalkan tempat mereka.

Pengendali The Selecao itu berkata dia mahu mengekalkan aksi konsisten jentera serangannya walaupun mereka berdepan prestasi buruk ketika berdepan Panama, namun mengeluarkan Paqueta selepas Brazil ketinggalan menjelang separuh masa menerusi gol David Pavelka.

Firmino menjaringkan gol penyamaan sebelum Jesus, yang menggantikan Coutinho pada minit ke-72, menjaringkan gol berganda pada lewat permainan.

"Saya berasakan kami sudah bermain dengan baik. Amat sukar untuk melakukannya selepas banyak pertukaran dilakukan," katanya kepada TV Globo.

"Kami kekurangan penyatuan, namun kami adalah Brazil dan perlu mengatasi setiap kesukaran seperti itu.

"Kami mencipta lebih peluang dalam babak kedua dan gembira kerana meraih kemenangan.

"Adakalanya pihak lawan bertahan dengan baik, itu yang terjadi ketika kami berdepan Panama.

"Kami sepatutnya menghasilkan lebih peluang, lebih menyerang, namun saya sudah biasa untuk berdepan lima pertahanan sewaktu di England.

"Panama mempunyai enam pertahanan dalam babak kedua dan ia amat menyukarkan, namun kami mengatasinya selepas itu.

"Hari ini, dalam babak pertama, amat normal untuk pasukan tuan rumah untuk turun beraksi sebagai pasukan yang lebih baik.

"Kami dibolosi, namun berjaya mengekalkan fokus untuk menterbalikkan kelebihan itu," katanya.