Pengendali baharu Sang Badak, Jelius Ating, akan mengenal pasti masalah yang ada dalam pasukan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang perubahan.

Bekas pemain berusia 46 tahun itu berkata beliau akan bersemuka dengan setiap pemain dan pegawai bagi mendapatkan pandangan mereka dalam beberapa hari ini.

"Ini hari pertama saya menjalankan tugas, apa yang saya akan lakukan terlebih dahulu ialah untuk bertemu dengan kesemua pemain, termasuk pemain import, serta pegawai pasukan.

"Kami mahu kenal pasti masalah yang ada dalam pasukan sebelum mencari jalan untuk menyelesaikannya," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Jelius berkata beliau akan menggunakan ketiga-tiga pasukan negeri (skuad senior, Piala Presiden dan Piala Belia) untuk membentuk pasukannya.

"Setakat ini, saya tidak mempunyai pilihan lain kerana jendela perpindahan pemain hanya akan dibuka pada Mei depan.

"Saya akan menggunakan pemain sedia ada di samping bantuan daripada skuad Piala Presiden dan Piala Belia," katanya.

Jelius yang pernah digelar 'badang' ketika masih beraksi bersama Sang Badak dilantik sebagai ketua jurulatih Sabah yang baharu bagi menggantikan Steve Vilmiaire.

Ia susulan prestasi buruk pasukan berkenaan dalam kempen Liga Perdana setakat ini, iaitu hanya mengutip empat mata daripada lapan perlawanan.