Susulan kemenangan ke atas Felda United, pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Azamuddin Akil, mengakui keyakinan mereka meningkat untuk melunaskan misi penting dalam aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2017 (ACL).

JDT akan membuat perhitungan dengan kelab Thailand, Bangkok United, dalam aksi kelayakan pertama ACL, Selasa ini.

Sememangnya ia tugasan getir buat skuad selatan tanah air itu memandangkan lawan tampak lebih kuat berdasarkan reputasi dan pengalaman di pentas kejohanan tersebut.

Namun, Azamuddin optimis terhadap keupayaan JDTuntuk menghadirkan cabaran hebat untuk meneruskan kemaraan ke aksi kelayakan seterusnya nanti.

"Saya rasa moral semua pemain berada di tahap tinggi ketika ini dan kami akan memberi fokus terbaik untuk menempuh perlawanan itu nanti," jelasnya.

Azamuddin yang mesra dipanggil Alex, adalah antara watak penting kejayaan JDT menundukkan Felda United, 3-1, Jumaat lalu.

Dia dua kali bertindak cemerlang sebagai pencetus jaringan yang dihasilkan Brian Fereirra dan Gonzalo Cabrera dalam babak kedua.

"Saya akan memberikan yang terbaik kerana berada pada usia 32 tahun ini, saya akan menikmati setiap satu perlawanan musim ini bersama JDT," tambahnya.