Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim, dan pemain muda Sarawak, Tommy Mawat, mahu mengambil kesempatan ke atas kesulitan pihak lawan dalam aksi Liga Super, malam ini.

JDT, yang menerima kunjungan Selangor ke Larkin, yakin mampu mengekang kebangkitan gergasi merah kuning itu yang tewas 5-3 kepada PKNS FC minggu lalu.

Bagi Safiq, penting buat JDT mengutip tiga mata untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam liga.

"Tiada istilah tugas mudah musim ini, Insya-Allah beraksi di laman sendiri, kami akan gunakan kelebihan itu untuk mengutip tiga mata," katanya.

Sementara itu, Tommy menegaskan penting buat Sarawak menggunakan kesempatan ke atas ketiadaan pengendali Pulau Pinang, Ashley Westwood -- yang digantung empat perlawanan -- di Batu Kawan dalam misi keluar daripada zon penyingkiran.

"Kami akan cuba mengambil kesempatan ke atas masalah yang dihadapi Pulau Pinang, saya cuma berharap rakan sepasukan memberikan aksi terbaik mereka," katanya.

Dalam satu lagi aksi Liga Super di Jengka, pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail, mengakui pasukan tuan rumah, Felda United, memiliki sedikit kelebihan berbanding skuad kendaliannya.

"Ini merupakan perlawanan kedua kami berbanding Felda United yang sudah menempuh empat perlawanan. Mungkin kami kekurangan daripada aspek 'match fitness' tetapi Insya-Allah kami akan bermain seperti biasa," katanya.