GAMBA OSAKA 3 JDT 0

Impian Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk menyertai saingan Liga Juara-Juara AFC lebur selepas tewas 0-3 kepada kelab Jepun, Gamba Osaka, dalam perlawanan play-off di Stadium Suita City, Osaka, sebentar tadi.

Skuad Benjamin Mora mempunyai peluang untuk mendahului permainan, malangnya hantaran Safiq Rahim gagal disempurnakan oleh Safawi Rasid, malah tendangan melulunya tidak langsung mencemaskan penjaga gol lawan, Masaaki Higashiguchi.

Keseimbangan yang ditunjukkan kedua-dua pasukan tidak bertahan lama apabila JDT dipaksa mengendurkan serangan selepas 20 minit permainan.

Tandukan tajam pemain kelahiran Brazil, Ademilson, pada minit ke-26, gagal dicapai Farizal Marlias untuk skuad tuan rumah berada di depan 1-0.

Tiga minit kemudian, giliran Shun Nagasawa menambah jaringan hasil gerakan menarik di depan gawang pelawat.

Pada minit ke-68, Hiroki Fujiharu mengambil masa yang lama untuk melakukan rembatan ketika dia berada di kedudukan terbaik, mujur S. Kunanlan bertindak pantas menghalang bola tersebut.

Kehampaan itu ditebus seminit kemudian apabila tandukan Genta Miura menemui jaring untuk menewaskan Farizal Marlias buat kali ketiga.

Ketika JDT buntu bagi mencari gol pertama, Gamba Osaka terus menunjukkan kemahuan untuk menambah jaringan pada penghujung perlawanan.

Ritsu Doan, yang turun sebagai pemain gantian hampir-hampir menghadiahkan gol keempat apabila rembatan jarak jauhnya hanya sedikit tersasar.

Kedudukan 3-0 yang berpihak kepada Gamba Osaka kekal hingga tamat perlawanan.

Dengan kekalahan ini, JDT akan kembali bersaing dalam Piala AFC, dengan Felda United sebagai satu lagi wakil Malaysia.