Thiago Silva menegaskan Neymar tidak seharusnya dipersalahkan terhadap kekalahan 3-2 Paris Saint-Germain (PSG) kepada Liverpool dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), semalam.

Roberto Firmino hadir sebagai pemain gantian melakar gol kemenangan di Anfield selepas PSG bangkit daripada ketinggalan 2-0.

Thomas Meunier dan Kylian Mbappe menemui sasaran selepas tandukan Daniel Sturridge dan sepakan penalti James Milner memberikan kelebihan buat skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Persembahan Neymar dikritik di sebalik melakukan umpanan buat jaringan penyamaan Mbappe pada minit ke-83 dan Klopp mendedahkan Liverpool berancang untuk menutup ruang buat bintang Brazil itu.

Bagaimanapun, Silva berkata semua pemain bertanggungjawab di atas keputusan itu dan menegaskan rakan senegaranya itu mengikut setiap arahan taktikal yang telah ditetapkan oleh jurulatih, Thomas Tuchel.

"Neymar berusaha membantu pasukan. Dia telah melakukan apa yang telah diarahkan oleh jurulatih," katanya.

"Orang berusaha untuk mencari dalang kekalahan PSG. Kami semua bersalah.

"Kami ketinggalan dalam perlawanan dan kembali menyamakan kedudukan. Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan.

"Kami perlu memberikan tumpuan sepanjang masa, jika tidak ia akan menghukum pasukan. PSG akan cuba bangkit dalam aksi akan datang."

PSG akan berkunjung ke Rennes pada Ahad ini dalam usaha mengekalkan rekod kemenangan dalam saingan Ligue 1 manakala skuad bimbingan Tuchel itu kembali dalam saingan UCL bulan depan untuk menghadapi Red Star Belgrade.