Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Azzuddin Ahmad, menganggap statut perlembagaan Artikel 88 FAM telah dipandang remeh andai tiada tindakan tegas badan induk itu ke atas Bojan Hodak.

Isu melibatkan kelantangan jurulatih skuad B-19 itu turut mendapat perhatian mantan setiausaha agung FAM berkenaan.

Menurutnya, memperlekehkan sistem badan induk menerusi kenyataan seorang jurulatih kebangsaan adalah sesuatu yang tidak wajar dan ia dengan jelas melanggar etika badan induk itu.

"Ia tidak seharusnya keluar daripada mulut seorang jurulatih kebangsaan.

"Lebih serius lagi, kenyataan itu dibuat di luar Malaysia.

"Itu atas budi bicara FAM (untuk mengambil tindakan) dan saya tidak mahu mengulas lanjut," ujarnya.

Ketegasan Azzuddin pada satu masa dulu menjadikan dia sebagai sasaran sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan caranya.

Begitupun, beliau mempunyai alasan tersendiri dengan menganggap setiap perlembagaan perlu dipatuhi.

"Jika seseorang itu tidak mematuhi peraturan dan tidak dikenakan hukuman setimpal, maka perkara ini akan berleluasa.

"Semua orang boleh bercakap dan sesiapapun tidak akan lagi berasa segan-silu untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.