Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, tidak mahu melihat anak buahnya berasa selesa, sebaliknya menegaskan masih ramai pemain yang memiliki kredibiliti hampir sama dalam persaingan merebut tempat untuk ke Sukan Asia Indonesia.

Jelas sekali itu bukan jaminan buat mana-mana pemain yang beraksi cemerlang dalam Kejohanan AFC B-23 di China minggu lalu.

Kelantangan jurulatih itu membawa maksud tiada konsistensi, maka tiada tempat dalam pasukan, terutama dalam persediaan untuk ke temasya sukan terbesar Asia itu.

"Walaupun pasukan B-23 melakukan persembahan yang baik, masih banyak yang perlu diperbaiki. Kita tidak boleh berhenti di sini atau bersikap berpuas hati. Saya perlu lihat apa sahaja aspek yang perlu diperbaiki," katanya.

Dalam pada tu, pemain negara yang mencuri tumpuan dalam kejohanan di China itu, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, tidak mahu beraksi hambar dalam saingan liga kerana ia adalah satu-satunya cara untuk menarik perhatian Kim Swee.

"Saya akan buat yang terbaik dan tunjukkan dalam latihan pengalaman yang saya perolehi dalam Kejohanan AFC B-23," kata pemain tengah itu.

Turut memberi padangan sama adalah pemain pertahanan, Dominic Tan Jun Jin, yang berkata: "Sekarang ini kami semua kembali kepada kelab dan merebut tempat dalam pasukan masing-masing.

"Di sana sekali lagi kami dapat masa bermain dalam perlawanan yang agak kompetitif dalam Liga Malaysia."