SCHALKE 0 BAYERN MUNICH 2

Rekod kemenangan 100 peratus Bayern Munich di bawah kendalian Niko Kovac diteruskan selepas gol dalam setiap babak daripada James Rodriguez dan Robert Lewandowski membolehkan mereka menewaskan pasukan yang bergelut, Schalke.


Juara bertahan Bundesliga itu memenangi kesemua empat perlawanan pertama liga di bawah bimbingan Kovac sambil turut mencatat keputusan cemerlang dalam saingan Piala Super Jerman, Piala Jerman serta Liga Juara-Juara Eropah.

James meletakkan mereka di depan dalam aksi di Veltins-Arena setelah menyempurnakan hantaran daripada sepakan sudut dan selepas dia dijatuhkan Alessandro Schopf di dalam kotak penalti, Lewandowski tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Schalke yang menamatkan saingan musim lalu selaku naib juara kini tewas dalam semua empat aksi liga.

Tuan rumah jelas dipalitkan dengan kekecewaan selepas melepaskan gol pendahuluan pada minit kelapan susulan kealpaan Sebastian Rudy yang membiarkan James menanduk masuk bola sepakan sudut Joshua Kimmich untuk menewaskan Ralf Fahrmann.

Penjaga gol itu menyelamatkan sepakan penalti ketika bertemu Porto dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, pertengahan minggu lalu, tetapi dia hanya melihat bola sepakan percuma David Alaba sedikit melepasi palang gol.

James berpeluang untuk menambah jaringan buat Bayern selepas lima minit permainan bersambung dalam babak kedua tetapi dia mensia-siakan bola hantaran Franck Ribery.

Namun, bintang Colombia itu menebus kekecewaannya dengan mendapatkan sepakan penalti sebelum Lewandowski merembat bola masuk ke penjuru kanan gol pada minit ke-64.

Pengendali Schalke, Domenico Tedesco, mengeluarkan Franco Di Santo dan penyerang itu dilihat bertelagah dengan ketua jurulatihnya dan nasib Schalke mungkin lebih buruk jika Fahrmann tidak dapat menepis keluar satu lagi bola sepakan percuma Alaba.