Penjaga gol skuad B-19 negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, menganggap peluang dipanggil menyertai skuad bimbingan Bojan Hodak itu pada usia 17 tahun sebagai motivasi terbaik untuk dia mencipta nama di persada bola sepak negara.

Skuad B-19 negara sedang menjalani latihan pusat fasa kedua sebagai persediaan menghadapi Kejohanan AFF, pertengahan tahun ini.

Tumpuan terarah kepada Izhan yang merupakan salah seorang daripada lima pemain yang diserap daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

"Saya akan melakukan yang terbaik dan tidak akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan.

"Saya perlu segera menyesuaikan diri dengan pasukan dan memenuhi segala tuntutan daripada jurulatih," katanya.

Bagi Izhan, bukan tugas mudah untuk menempatkan diri dalam skuad utama Hodak dan dia perlu berusaha keras bagi mencuri hati jurulatihnya itu.

"Usaha dan tawakal.

"Saya perlu berusaha bersungguh-sungguh dan melakukan yang terbaik dalam sesi latihan.

"Saya perlu memahami aspek teknikal dan taktikal yang dimahukan jurulatih," katanya.