BELANDA 1 ITALI 2

Jurulatih Itali, Giampiero Ventura, meramalkan pasukannya mampu membuat kejutan dalam Piala Dunia 2018 selepas menewaskan Belanda 2-1 dalam aksi persahabatan di Arena Amsterdam, awal pagi tadi.


Azzurri pada awalnya ketinggalan apabila tampanan Alessio Romagnoli terpantul ke arah gawang sendiri tetapi persembahan sepenuh hati daripada pemain seperti Ciro Immobile dan Marco Verratti memastikan pasukan pelawat bangkit semula.

Selepas itu, Eder menyamakan kedudukan dalam masa beberapa saat dan Leonardo Bonucci menjaringkan gol kedua selepas tandukan jarak dekat Marco Parolo diselamatkan.

Ventura, yang mempunyai rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan terakhir Itali, memberitahu Gazzetta dello Sport: "Kemenangan malam ini adalah penting bagi membina imej yang kami usahakan dan mentaliti yang sedang dibangunkan.

"Kami menunjukkan semangat berpasukan, keupayaan untuk melawan dan derita, dan kami mendapat hasilnya.

"Kemenangan ini juga membantu kami meningkatkan kedudukan dalam ranking. Saya pasti bahawa ini adalah satu pasukan yang semakin meningkat.

"Ini adalah pasukan yang akan menjadi kejutan dalam Piala Dunia di Russia jika kami sampai ke sana."

Ventura memberikan pujian terhadap pemain tengah, Verratti, di atas prestasinya yang semakin meningkat selepas kemenangan 2-0 menentang Albania dalam kelayakan Piala Dunia.

"Prestasi Verratti adalah apa yang berlaku apabila kami luahkan diri kami sendiri," kata Ventura. "Saya berpuas hati dengan usahanya.

"Dia mempunyai perlawanan besar menentang Albania dan apabila kami bermain dengan baik, dia mampu membuat perbezaan."

Jurulatih sementara Belanda, Fred Grim, mengakui pasukan tuan rumah tidak bertahan dengan cukup baik tetapi memandang positif ke arah Memphis Depay dan Quincy Promes yang kerap memberi masalah kepada pertahanan Itali.

Grim mengambil alih pasukan berikutan pemecatan Danny Blind selepas tewas kepada Bulgaria 2-0 dalam kelayakan Piala Dunia tetapi dia dijangka kembali memainkan peranan sebagai jurulatih bawah 21 tahun manakala pengganti tetap bagi Blind sedang dicari.

Katanya kepada AD: "Kami bermain dengan bakat yang besar dan tenaga yang tinggi, dan kami juga bermain bola sepak yang baik. Tetapi anda juga perlu menjadi kritikal: Kami terlalu mudah memberi gol.

"Kami berada di landasan yang betul dan dalam beberapa perlawanan lebih kecil, seperti menentang Luxembourg (menang 3-1), kami dapat menang.

"Tetapi Sabtu lalu (menentang Bulgaria) tidak bagus, dan kami mengetahuinya.

"Saya banyak berhubung dengan Danny (Blind), dan dia mendoakan yang terbaik buat kami."