Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi tempoh 24 jam buat Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL) untuk menyatakan pendirian mereka mengenai permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk meminda tarikh perlawanan play-off pertama kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, bulan depan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, mengesahkan sudah menerima permohonan FAM untuk meminda tarikh perlawanan dari 6 ke 7 Jun ini kerana bertembung dengan hari kedua sambutan Hari Raya Aidilfitri.

FFTL sepatutnya memberikan jawapan kelmarin, namun AFC bertolak-ansur untuk memanjangkan tempoh itu hingga esok sebelum keputusan rasmi diumumkan minggu depan.

"Apabila FAM menghantar permohonan untuk meminda tarikh, kami perlu menyemaknya dengan pihak Timor Leste.

"Jika kedua-dua negara bersetuju, kami boleh mempertimbangkan tarikh baru itu.

"Kebiasaannya, ia tidak akan menjadi masalah apabila kedua-dua pasukan bersetuju," katanya.

Dalam masa sama, masih tiada lagi permohonan rasmi yang diterima AFC daripada pihak FFTL berhubung perubahan venue perlawanan kedua, 11 Jun ini.

Cadangan itu diutarakan selepas Stadium Perbandaran Dili, Timor Leste tidak menepati piawanan untuk menganjurkan perlawanan antarabangsa.

"Kami ada mendengar tentang Timor Leste sedang melakukan persiapan untuk mengadakan perlawanan di Kuala Lumpur, namun kami masih tidak menerima apa-apa hitam-putih.

"Jadi, amat sukar untuk mengesahkan apa-apa buat masa ini," tambahnya.