Lorenzo Insigne lebih menggemari Lionel Messi berbanding penyerang baru Juventus, Cristiano Ronaldo, selepas pemain sayap Napoli tersebut menyatakan bintang baru Juve itu tidak akan dapat memenangi perlawanan Serie A secara bersendirian.

Ronaldo selesai menjalani ujian perubatannya dua hari lalus untuk menyempurnakan perpindahan bernilai €105 juta (RM496.5j) dari Real Madrid.

Perpindahan itu menandakan berakhirnya persaingan dengan bintang Barcelona, Messi, dalam kancah domestik, dengan pasangan itu telah bertembung dalam LaLiga sejak Ronaldo tiba dari Manchester United pada 2009 dengan perdebatan mengenai siapakah di antara pemenang lima kali Ballon d'Or terbabit yang lebih hebat akan terus diperkatakan.

Ronaldo dilihat akan menjulang Juve untuk meraih gelaran Scudetto kelapan berturut-turut, begitupun Insigne percaya Bianconeri tidak akan dapat bergantung kepada pemain antarabangsa Portugal itu semata-mata.

Bercakap kepada Gazetta Dello Sport semalam, Insigne berkata: ''Saya ingin lihat bagaimana dia menyesuaikan diri dengan liga kami.

''Dia tidak boleh menang secara bersendirian di sini. Secara peribadi, sebagai pemain bola sepak, saya lebih sukakan Messi tetapi kualiti pemain Portugis itu tidak boleh disangkal, dia memenangi lima Ballon d'Or. Ia memberi makna.''

Perpindahan Ronaldo ke Itali mencetuskan kegilaan ramai apabila sebanyak 520,000 helai jersi beserta namanya telah terjual dalam tempoh 24 jam kehadirannya.

Napoli, yang menggantikan pengurus baru Chelsea, Maurizio Sarri, dengan bekas pengendali Juve, AC Milan dan Madrid, Carlo Ancelotti, turut sibuk dalam pasaran pemain.

Partenopei menandatangani Fabian Ruiz dari Real Betis, pemain sayap, Simone Verdi dari Bologna dan penjaga gol, Alex Meret dari Udinese dalam usaha memberi cabaran hebat kepada Juve setelah dipisahkan dengan empat mata musim lalu.