Lionel Messi berkata peluang untuk mengikut jejak langkah Andres Iniesta, Xavi dan Carles Puyol merupakan satu penghormatan dan pengalaman yang dikutipnya daripada trio berkenaan yang membantunya untuk menggalas tugas sebagai ketua pasukan Barcelona yang baru.

Messi, yang bertindak sebagai kapten Argentina biarpun laporan mencadangkannya akan bersara daripada tugas antarabangsa, mengambil alih peranan itu susulan penghijrahan Iniesta ke kelab Jepun, Vissel Kobe.

Penggempur Barca itu meneruskan tradisi apabila berhadapan dengan penyokong Camp Nou sebelum sepak mula bertemu Boca Juniors dalam kemenangan 3-0 merebut Trofi Joan Gamper, awal pagi tadi.

"Pertama sekali, saya ingin mengatakan bahawa adalah menjadi kebanggaan yang besar dilantik sebagai ketua pasukan," kata Messi.

"Saya tahu maksudnya menjadi kapten Barca dan saya telah mengutip pengalaman berharga daripada Puyol, Xavi serta Andres, yang akan kami rindui tahun ini."

Messi berkata, kekalahan mengejut kepada AS Roma dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu merupakan agenda utama Barca untuk bangkit selepas disingkirkan biarpun membawa bekalan 4-1 hasil pertemuan pertama suku akhir untuk terkandas menerusi keputusan yang sama.

"Mengenai tahun ini, saya fikir kami telah menetapkan satu platform untuk tampil bersemangat. Pemain baru yang datang akan membantu kami untuk menjadi lebih baik.

"Walaupun tahun lalu kami memenangi LaLiga dan Copa del Rey, kami terkandas dalam UCL.

"Kami berikrar bahawa kami akan melakukan segala yang mungkin supaya piala yang indah ini dapat kembali ke Camp Nou."