Andres Iniesta menegaskan Luis Enrique mendapat sokongan daripada setiap pemain untuk kekal sebagai ketua jurulatih di Nou Camp.

Luis Enrique masih lagi memberikan komitmen penuh kepada Barca walaupun mereka sudah dilihat tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) selepas tewas 4-0 dalam perlawanan pertama aksi kalah mati kepada Paris Saint-Germain (PSG).

Kemenangan 2-1 ke atas Leganes dan Atletico Madrid hasil bantuan Lionel Messi di penghujung perlawanan memastikan mereka masih di dalam perebutan takhta LaLiga.

Di sebalik persembahan hambar daripada Barca, Iniesta menyatakan bahawa pasukan masih lagi memberikan sokongan serta menerima percaturan Enrique.

"Saya tidak tahu sama ada beliau akan terus bersama kami ataupun tidak, saya berharap kami dapat terus bekerjasama untuk merebut lebih banyak gelaran selepas ini," kata Iniesta.

"Kami menghadapi kesukaran ketika berdepan Atletico. Mereka telah cuba yang terbaik untuk menewaskan Barcelona. Ia merupakan tiga mata penuh yang berharga."

Tiada pasukan yang pernah melayakkan diri ke pusingan seterusnya selepas ketinggalan empat gol dalam sejarah UCL tetapi Iniesta berasakan Barca perlu mengerah keringat untuk melakukan sesuatu yang mustahil.

"Pertemuan dengan PSG agak rumit tetapi kami perlu memiliki tahap keyakinan yang tinggi.

"Walaupun kami jauh ketinggalan, masih berbaki 90 minit untuk kami mencipta sesuatu."