Andres Iniesta telah dinamakan pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, dalam senarai pemain menjelang perlawanan LaLiga menentang Sevilla pada malam ini.

Kapten pasukan itu sekadar menyaksikan kemenangan 2-0 ke atas Athletic Bilbao minggu lalu selepas terpaksa berehat selama dua minggu.

Dalam masa yang sama, Iniesta turut dinamakan oleh pengendali Sepanyol, Julen Lopetegui, bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Costa Rica dan Russia, yang menguatkan lagi laporan bahawa dia sudah bersedia untuk kembali beraksi.

Valverde teruja untuk membuktikan pasukannya mampu beraksi di tahap terbaik walaupun tanpa kelibat pemain berusia 33 tahun itu tetapi kehadiran semula Iniesta pastinya memberikannya lebih banyak pilihan.

"Iniesta dan Lionel Messi adalah pemain hebat sehingga apabila mereka tidak beraksi, anda akan merasainya," kata Valverde.

"Anda perlu menggantikan mereka, tidak kira menerusi cara manual menggunakan pemain atau mengubah corak taktikal.

"Harus diingat, kami juga memiliki pemain-pemain yang mampu menggantikan tempat Iniesta dan bersedia memberikan komitmen sepenuhnya apabila diberi peluang.

"Iniesta beraksi hebat sejak kebelakangan ini tetapi pemain-pemain lain sentiasa mengintai peluang untuk bermain," katanya.