Pemain veteran Barcelona, Andres Iniesta, mendedahkan bahawa kekalahan di tangan AS Roma awal pagi tadi mungkin penampilan terakhirnya di pentas Liga Juara-Juara Eropah.

Barca menang 4-1 dalam aksi suku akhir pertama di Camp Nou, namun dikejutkan dengan kekalahan 3-0 di tempat lawan, sekaligus tewas agregat menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Iniesta dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Super China untuk menyertai Tianjin Quanjin dan pemain berusia 33 tahun itu memberi bayangan bakal meninggalkan gergasi Sepanyol itu dengan menjadikan 30 April sebagai tarikhnya untuk membuat keputusan.

"Kemungkinan ini bakal menjadi aksi terakhir saya dalam Liga Juara-Juara tetapi ini sangat sukar buat kami seluruh pasukan.

"Kami mahu menjuarai kejohanan ini tetapi gagal melakukannya sekali lagi," kata Iniesta.

Jaringan daripada Edin Dzeko, Daniele De Rossi dan Kostas Manolas membolehkan Roma bangkit dalam aksi penuh dramatik, mengingatkan kembali apa yang dilakukan Barca ke atas Paris Saint-Germain (PSG) menerusi kemenangan agregat 6-5 musim lalu.

"Ia tidak kelihatan benar-benar terjadi. Sukar untuk menerimanya. Ia amat pahit.

"Berbekalkan kelebihan yang kami miliki, kami terkeluar kerana aksi buruk kami. Liga Juara-Juara akan menghukum anda sebegini," tambah Iniesta.