Zlatan Ibrahimovic gembira dan sedikit terkejut apabila melihat pemain tengah Real Madrid, Luka Modric, meraih beberapa anugerah individu pada 2018.

Bekas rakan sepasukan Modric di Madrid, Cristiano Ronaldo, telah memainkan peranan utama di Santiago Bernabeu musim lalu tetapi Modric turut memainkan pengaruh besar dalam kejayaan mereka menjulang gelaran juara Liga Juara-Juara (UCL) ketiga berturut-turut sebelum membawa Croatia ke perlawanan akhir Piala Dunia 2018.

Prestasi bekas tonggak Tottenham itu menyaksikan dia menerima Anugerah Bola Emas dalam temasya Russia 2018, kemudian diangkat selaku pemenang Ballon d'Or -- anugerah yang telah dikuasai Ronaldo atau Lionel Messi dalam 10 tahun terakhir.

Justeru, bintang LA Galaxy, Ibrahimovic, yang berada di tangga keempat dalam majlis Ballon d'Or edisi 2013 ketika mewakili Paris Saint-Germain (PSG), teruja untuk melihat nama lain di pentas itu.

"Saya fikir (Modric) antara pemain tengah paling lengkap di dunia," kata Ibrahimovic kepada DAZN. "Dia mempunyai kualiti yang hebat, dia mempunyai visi permainan yang menakjubkan. Kawalan bolanya juga sangat mengagumkan.

"Saya pernah bermain menentangnya pada awal karier, iaitu ketika dia pemain muda.

"Kini dia adalah pemain berpengalaman luas dan saya gembira atas kemenangannya dalam Ballon d'Or serta dijulang pemain terbaik dalam Piala Dunia 2018. Ini kerana bukan selalu pemain sepertinya mendapat penghargaan seperti itu.

"Biasanya ia menjurus kepada penyerang atau seseorang yang mempunyai faktor 'wow' tetapi tahun lalu adalah milik Modric, saya gembira kerana dia menang.

"Saya dan ibu berasal dari Croatia. Modric adalah orang Croatia, jadi saya gembira. Ia adalah sebahagian daripada darah daging saya."