Zlatan Ibrahimovic berkemungkinan akan kembali ke saingan bola sepak antarabangsa dalam saingan Piala Dunia selepas mengakui rindu untuk bermain bersama Sweden.

Ibrahimovic mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan selepas Euro 2016 selepas dia gagal untuk menjaringkan gol dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan hingga tersingkir awal.

Pemain berusia 36 tahun itu berpindah ke Manchester United beberapa minggu selepas saingan tersebut berakhir dan berjaya meraih 28 gol dalam semua kejohanan.

Bagaimanapun, musim 2016-17 berakhir awal buatnya selepas mengalami kecederaan lutut dalam aksi Liga Europa.

Ibrahimovic berikrar untuk kembali beraksi dan menandatangani kontrak baru untuk kekal di Old Trafford dan kembali beraksi pada November tahun lalu, namun gagal memberikan impak besar buat pasukan.

Kecederaan lutut yang berlarutan mengehadkan dirinya beraksi hanya tujuh perlawaan dalam semua kejohanan tetapi dia berharap untuk menamatkan musim ini dengan baik dan meyakinkan pengurus Sweden, Janne Andersson, untuk dipilih ke Russia.

"Saya merindui skuad kebangsaan," kata Ibrahimovic.

"Selepas bermain selama 20 tahun dan menyaksikan orang lain beraksi buat skuad kebangsaan, ia amat memeritkan. Tetapi perit kerana bergelut dengan kecederaan yang membataskan anda untuk beraksi untuk kelab dan skuad kebangsaan.

"Ia adalah kehidupan saya selama 20 tahun dan secara tiba-tiba saya tidak dapat bermain dalam setiap tiga hari. Tetapi saya perlu menerimanya dan berjuang.

"Saya tidak dapat melakukan perkara lain, cuma perlu berlatih dan meletakkan sasaran."

"Beraksi di Russia, ia adalah satu soalan yang sukar. Saya mahu beraksi dan membantu pasukan. Saya tidak mahu ke sana kerana reputasi saya semata-mata," tambahnya.