Ketua Pegawai Eksekutif AC Milan, Marca Fassone, menyatakan bekas bintang Manchester United, Zlatan Ibrahimovic, dan penyerang Monaco, Radamel Falcao, kini berada di dalam pemantauan kelabnya.

Ibrahimovic kini merupakan ejen bebas dan dalam proses pemulihan daripada kecederaan lutut selepas dilepaskan oleh United dan pemain berusia 35 tahun itu berkemungkinan kembali ke Milan.

Dia mengharungi dua musim di San Siro dan memenangi gelaran Serie A pada 2010-11.

Falcao juga dilihat berkemungkinan menyertai revolusi Milan, sekaligus mengikut jejak langkah Leonardo Bonucci, Andre Silva, Lucas Biglia, Andrea Conti, Hakan Calhanoglu, Ricardo Rodriguez, Mateo Musacchio, Franck Kessie dan Fabio Borini.

Fassone menegaskan Milan masih lagi mencari beberapa penyerang selepas mereka dikaitkan dengan ramai bintang seperti Ibrahimovic, Falcao, Pierre-Emerick Aubameyang, Diego Costa, Andrea Belotti dan Nikola Kalinic.

"Kami masih lagi membuat penilaian dan mahu memilih pemain yang tepat. Kami cuba mengelak daripada melakukan kesilapan," katanya.

"Setakat ini, terdapat enam atau tujuh nama yang dicadangkan kepada kami.

"Keraguan yang kami hadapi adalah sama ada mereka sesuai dengan revolusi pasukan ini.

"Kami melihat ini sebagai projek jangka masa panjang."




Milan mara ke pusingan play-off Liga Europa selepas melakar kemenangan 2-0 (agregat 3-0) ke atas CSU Craiova, semalam.