Callum Hudson-Odoi tidak mampu mengungkapkan apa-apa selepas muncul pemain termuda yang mewakili England di peringkat kompetitif tatkala skuad The Three Lions itu membenam Republik Czech 5-0, awal pagi tadi.

England jelash berada di tahap terbaik di Wembley untuk membelasah pelawat serta memulakan saingan kelayakan Euro 2020 dengan penuh bergaya.

Raheem Sterling mencipta sensasi menerusi ledakan hatrik tetapi Hudson-Odoi -- yang menggantikan bintang Manchester City itu -- berpeluang untuk meletakkan nama dalam senarai penjaring tetapi bola percubaannya terkena Tomas Kalas sebelum masuk ke gawang sendiri.

Walaupun masih belum tampil bersama Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Hudson-Odoi diberi kepercayaan oleh pengendali England, Gareth Southgate, namun dia sedikit bergelut untuk menyesuaikan diri.

"Saya sangat berbesar hati," kata Hudson-Odoi.

"Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya sehingga bergelar pemain seperti hari ini.

"Jelas sekali peluang datang di laman sendiri merupakan sesuatu yang diimpikan. Saya sukar mempercayainya dan tidak tahu untuk berkata apa."

Selain Hudson-Odoi, bintang muda Borussia Dortmund, Jadon Sancho, turut menikmati aksi di Wembley setelah dinamakan dalam kesebelasan utama buat kali pertama, membuka ruang buat jaringan pertama Sterling serta mencuri tumpuan menerusi teknik kawalan bola yang menarik.

Sancho tampak sedikit gemuruh, namun sokongan daripada kapten, Harry Kane, membantunya untuk kembali ke landasan sebenar.

"Kane hanya bercakap perkara positif setelah melihat aksi satu lawan satu saya gagal diterjemahkan," ujar Sancho.

"Dia cuma meminta saya untuk mengikut perancangan. Dalam latihan, saya dan Kane mempunyai persefahaman yang baik. Jadi, apabila dia memegang bola, saya tahu dia akan menolak ke belakang dan ia memudahkan gol pertama Sterling.

"Dalam latihan, Kane memberi nasihat dan meminta saya untuk lebih yakin bersama bola atau tanpa bola. Hanya kerja keras. Apabila ia datang daripada seorang kapten, ia sangat membantu."