Penarikan diri jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, daripada Kejohanan Terbuka Malaysia 2019 minggu depan adalah wajar memandangkan pemain itu dalam proses pemulihan kesihatannya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beliau menghormati pendirian Chong Wei yang memberikan keutamaan terhadap kesihatannya dan pihaknya juga faham proses pemulihan yang dilalui pemain itu memerlukan masa.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita akan memberikan sokongan penuh kepada dia. Chong Wei adalah wira negara dan kita mahu pastikan beliau pulih sepenuhnya.

"Kita tidak mahu sebarang tindakan yang diambil menjejaskan kesihatannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Menara KBS, Putrajaya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam mengesahkan Chong Wei menarik diri daripada Terbuka Malaysia yang akan berlangsung pada 2 hingga 7 April ini selepas pemain itu dinasihatkan doktor pakar yang merawatnya di Taiwan untuk tidak menyertai kejohanan tersebut.

Bekas pemain nombor satu dunia itu tidak menyertai mana-mana kejohanan sejak disahkan menghidap kanser hidung pada Julai tahun lalu.

Keputusan itu menyaksikan Chong Wei yang menjuarai Terbuka Malaysia sebanyak 12 kali tidak akan mempertahankan gelaran itu kali ini.

-- BERNAMA