Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, mengakui risau dengan beberapa pemain yang kurang beraksi dengan pasukan masing-masing dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana menjelang Kejohanan AFF di Surabaya, bulan depan.

Harapan jurulatih itu adalah untuk mereka tetap berada dalam keadaan terbaik apabila melapor diri bagi menjalani latihan bersama skuad B-19 negara.

Hanya 14 pemain melaporkan diri hari ini kerana komitmen bersama pasukan masing-maing dalam saingan Piala Belia, Liga Super dan Liga Perdana.

Sebahagian besar pemain akan hanya melaporkan diri pada Jumaat ini dan 28 Jun ini.

Hodak mengakui pemain seperti Hadi Fayyadh Abdul Razak, Shivan Pillay Asokan, Zafuan Azeman dan juga Nik Akif Syahiran Nik Mat akan menjadi sandaran pasukannya dalam Kejohanan AFF kali ini.

"Ini tempoh singkat dan kami kesuntukan masa untuk melakukan program fizikal.

"Saya percaya pemain yang kerap beraksi tidak mempunyai masalah kecergasan.

"Isu yang saya hadapi ketika ini melibatkan pemain Kedah, Zafuan Azman dan Mohd Akhmar Haiqal Azhar (Felda). Mereka terbabit dalam skuad senior, namun jarang diturunkan.

"Kami akan menghadapi masalah mengenainya ketika menghadapi Kejohanan AFF nanti," kata jurulatih dari Croatia itu.

Bekas pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) itu enggan meletakkan tekanan kepada pemain di Surabaya nanti kerana sasaran utama adalah Kejohanan AFC B-19, Oktober depan.

Namun, Hodak percaya skuad kendaliannya berkemampuan untuk sekurang-kurangnya melangkah ke separuh akhir.

"Saya enggan meletakkan tekanan kepada pemain, namun kami memiliki kepercayaan ia boleh dicapai.

"Kami akan menghadapi satu persatu perlawanan, kami perlu memperbaiki prestasi, namun kami hanya sempat mengatur satu perlawanan pemanas badan.

"Ini kerana saya akan memiliki skuad penuh beberapa hari sebelum kejohanan bermula.

"Saya menyasarkan peningkatan sepanjang kempen di Surabaya nanti," katanya lagi.