Pengendali skuad bola sepak B-19 negara, Bojan Hodak, tidak mahu terburu-buru untuk menetapkan senarai 23 pemain terbaik yang akan menggalas cabaran dalam Kejohanan AFF dan kelayakan Kejohanan AFC tahun ini.

Dalam latihan pusat fasa kedua, skuad B-19 negara akan menghadapi dua aksi persahabatan menentang skuad Piala Presiden PKNS FC dan Selangor dalam membantu pengendali itu menjalankan pemilihan pemain bagi melengkapkan pasukan utama.

Bagaimanapun, Hodak memerlukan masa yang lebih panjang untuk membentuk skuad mantap sebelum mengharungi Piala Sanix di Jepun, Mac depan.

Seperti tahun lalu, Hodak mahu memanfaatkan kejohanan itu sebagai medan pendedahan buat barisan pemainnya.

"Kami perlu menilai mereka menerusi latihan dan perlawanan.

"Kami memerlukan perlawanan yang sukar supaya dapat memberikan pendedahan terbaik buat setiap pemain.

"Bagaimanapun, saya masih mempunyai banyak masa untuk menentukan senarai akhir pemain.

"Kami akan melalui dua perlawanan persahabatan sebelum berlepas ke Jepun untuk menyertai Piala Sanix.

"Kami akan berhadapan lawan yang sukar dalam kejohanan itu dan saya berharap kami dapat melengkapkan pasukan sebelum ke sana," katanya.