Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, menuntut pemain termuda pasukannya, Firdaus Khaironisam dan Umar Hakeem Suhar Rezwan, menunjukkan komitmen tinggi untuk kekal membarisi pasukannya dalam beberapa tugasan antarabangsa tahun ini.

Firdaus dan Umar adalah antara 28 pemain yang terpilih menyertai kem latihan pusat skuad B-19 negara yang bermula hari ini.

Tumpuan lebih terarah kepada Firdaus yang merupakan anak kepada bekas pertahanan negara, Khaironisam Shahabudin.

Dia dipanggil menyertai pasukan itu pada usia 17 tahun selepas menyerlah bersama skuad B-16 negara kendalian Lim Teong Kim tahun lalu.

"Dua daripada mereka menyertai kami minggu ini dan empat lagi akan turut serta minggu depan.

"Mereka perlu memberikan aksi terbaik.

"Ia lumrah dalam bola sepak.

"Jika mereka cukup bagus, umur mereka bukan lagi faktor penting.

"Setiap pemain terbaik akan dipilih mewakili pasukan," katanya.

Skuad B-19 tahun negara kini dalam persediaan awal bagi menghadapi Kejohanan AFF dan kelayakan Kejohanan AFC B-19 masing-masing pada Julai dan September depan.

Mereka akan melalui sesi latihan selama dua minggu dengan tiga perlawanan persahabatan, antaranya menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Jumaat ini.