Jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Bojan Hodak, lega keseluruhan pemain yang dipanggil kini berada bersamanya walaupun tempoh latihan yang ada cuma selama tiga hari sebelum mereka berlepas ke Surabaya bagi menghadapi aksi Kejohanan AFF 2018 pada Ahad ini.

Apa yang penting, kelima-lima pemain yang baru melaporkan diri semalam berada dalam keadaan yang baik untuk kepentingan pasukannya.

Hodak juga menegaskan dia mampu bergantung harap dengan nama-nama yang baru melaporkan diri menjelang aksi di Surabaya, merujuk kepada kelebihan aksi kompetitif mereka dalam saingan liga.

"Akhirnya kami memiliki skuad penuh dan mempunyai masa selama dua hari untuk mempersiapkan diri sebelum kejohanan. Saya sangat gembira kerana semua pemain berada di sini," katanya.

Hodak turut menegaskan transisi pemain muda kepada pemain senior yang berlaku dalam persatuan dan kelab mereka ketika ini telah memberi impak kepada skuad kendaliannya dan hanya yang benar-benar mempunyai kredibiliti mampu mengekalkan potensi yang dimiliki

"Untuk sebahagian daripada mereka, ia tampak bagus seperti Akhyar Rashid (Kedah) serta Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan). Ia mungkin menjadi masalah jika pemain itu berlatih bersama pasukan senior tetapi tidak dapat peluang untuk beraksi."

Seramai 25 pemain bakal dibawa ke Surabaya dan Hodak terpaksa menggugurkan seorang pemain sahaja, iaitu Azhar Apandi, yang mengalami kecederaan ketika latihan.