Penyerang AC Milan, Gonzalo Higuain, memohon maaf kerana gagal menamatkan permainan ketika berdepan Juventus selepas dilayangkan kad merah tetapi menegaskan dia tidak menghina sesiapa.

Higuain menghadapi kesukaran ketika berdepan Juventus di San Siro selepas sepakan penaltinya dinafikan sebelum dibuang padang ketika Milan tewas 2-0, semalam.

Percubaan penyerang itu pada minit ke-41 dinafikan oleh Wojciech Szczesny sebelum dilayangkan kad merah kerana membantah keputusan pengadil, Paolo Mazzoleni.

Ketika memohon maaf, pemain berusia 30 tahun itu berkata emosi telah menakluki dirinya selepas mengharungi perlawanan yang sukar.

"Ia dilihat seperti terjahan yang tidak adil. Saya cuba untuk berhati-hati dan tidak menghina sesiapa dalam perlawanan ini," katanya.

"Saya memohon maaf kepada kelab, penyokong dan jurulatih kerana ia merupakan sesuatu yang boleh dielakkan."

Higuain berpeluang untuk mengikat kedudukan selepas Mario Mandzukic membuka jaringan tetapi penaltinya gagal disempurnakan dan Cristiano Ronaldo menoktahkan kemenangan Juve dalam separuh masa kedua.

Pemain kebangsaan Argentina itu bertanggungjawab di atas kesalahannya dan berikrar tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

"Jika saya menjaringkan gol, suasana perlawanan mungkin berubah.

"Saya bertanggungjawab di atas kesilapan ini. Saya berjanji untuk tidak mengulanginya."