Jurulatih Bayern Munich, Jupp Heynckes, menafikan ada sumpahan terhadap pasukannya apabila mereka menghadapi skuad Sepanyol dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Pemimpin Bundesliga itu berdepan Sevilla dalam perlawanan pertama suku akhir, awal pagi esok, untuk menamatkan badi empat kekalahan dalam empat tahun kepada skuad LaLiga dalam pusingan kalah mati ini.

Selepas memenangi 'treble' di bawah Heynckes pada 2012-13, Bayern ditumpaskan di peringkat separuh akhir oleh Real Madrid, Barcelona dan Atletico Madrid di bawah bimbingan Pep Guardiola, sebelum tewas sekali lagi kepada Los Blancos dalam suku tahun lalu.

Tetapi Heynckes menonjolkan kejayaan mereka pada 2012 dan 2013 sebagai bukti bahawa tiada kekalahan masa lalu yang boleh memberi kesan kepada perlawanan menentang skuad Vincenzo Montella.

Dia memberitahu sidang akhbar: "Pada 2012, Bayern pergi ke Real Madrid dan menyingkirkan mereka. Musim berikutnya, dengan penuh hormat kepada Barcelona yang hebat bermain dalam bola sepak Eropah, kami menang 4-0 di laman sendiri dan 3-0 di Camp Nou.

"Ia menunjukkan bahawa setiap tahun berbeza dan statistik empat musim yang lalu tidak relevan dengan perlawanan ini.

"Kami sangat menghormati Sevilla. Mereka mungkin tidak begitu popular kerana beberapa pasukan lain masih dalam persaingan, tetapi mereka benar-benar kuat."