Pengurus Bayern Munich, Jupp Heynckes, memuji kawalan taktikal yang dipamerkan pasukannya ketika membenam bayer Leverkusen 3-1 di BayArena, awal pagi tadi.

Leverkusen tidak tewas dalam 12 perlawanan liga sebelum ini tetapi tiga gol daripada Javi Martinez, Franck Ribery dan James Rodriguez berjaya memadamkan gol tunggal tuan rumah menerusi Kevin Volland.

Bayern tampak selesa mengawal setiap pergerakan lawan, sekaligus mencatat kemenangan ke-14 musim ini dan mencerahkan peluang untuk menjulang kejuaraan liga buat kali keenam berturut-turut.

"Secara taktikal dan disiplin, seluruh pasukan beraksi dengan amat baik. Walaupun selepas mendahului 2-0, kami sedikit leka dan tidak menumpukan sepenuh perhatian, kami tetap meraih tiga mata.

"Leverkusen adalah sebuah skuad muda dan berbakat serta bermain secara menyerang dengan baik," kata Heynckes.

Ribery yang menjaringkan gol pertama musim ini turut gembira dengan kemenangan itu sambil menyifatkan pertemuan dengan anak buah Heiko Herrlich iyu adalah sesuatu yang sengit.

"Perasaan yang bagus apabila menjaringkan gol," ujar Ribery.

"Aksi bertemu Leverkusen sentiasa sukar kerana mereka memberikan tekanan tinggi kepada kami.

"Apa yang penting, kami mencatat kemenangan 3-1," ujarnya.