Bekas penyerang terbilang Arsenal, Thierry Henry, percaya Arsene Wenger perlu dikekalkan sebagai pengurus kelab itu dan dalam masa yang sama menekankan kelemahan mental skuad itu.

Ketinggalan 12 mata kepada seteru London yang kini memimpin carta Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, penantian Arsenal untuk menjulang gelaran itu sejak 2004 tampak semakin samar.

Khabar angin mengenai masa depan Wenger yang sudah mengendalikan The Gunners sejak 1996 terus bertiup kencang berikutan kontraknya akan berakhir pada hujung musim ini.

Henry, yang memenangi dua mahkota EPL bersama kelab itu berpendapat, tiada sebab mengapa Wenger tidak melanjutkan kontraknya sekalipun berdepan cabaran untuk membetulkan keadaan susulan kekalahan teruk 3-1 di Stamford Bridge, tempoh hari.

"Secara peribadi, saya tidak fikir Arsene perlu pergi," katanya kepada RMC.

"Adakah dia perlu menukar taktik dan mengubah gaya permainan? Saya tidak pasti sama ada dia sanggup melakukannya atau tidak.

"Tetapi tugas yang perlu dilaksanakan ketika ini adalah sukar kerana ia melibatkan masalah berkaitan mental. Ketika saya menyaksikan perlawanan menentang Chelsea, ia adalah masalah mental dan tidak mudah untuk diuruskan.

"Ketika ini, mereka kekurangan sesuatu."

Chelsea kini menerajui EPL hasil 19 kemenangan dalam 24 perlawanan musim ini.

Henry berpandangan skuad Arsenal adalah setara dengan kekuatan Chelsea.

"Pasukan ini mempunyai kualiti, tapi adakah ia sudah memadai untuk memenangi kejuaraan?," katanya lagi.

"Pada awal musim, di atas kertas, Chelsea dan Arsenal tidak banyak bezanya. Maksudnya ia adalah tidak mustahil.

"Jika Chelsea boleh mendahului, begitu juga dengan Arsenal. Tapi untuk mencapainya, anda perlu berada pada prestasi terbaik setiap hari, anda perlu menampilkan aksi terbaik dalam setiap sesi latihan."

Tambah Henry lagi: "Saya fikir pemain Arsenal tidak sedar apa yang boleh dicapai mereka. Mereka perlu percaya kemampuan untuk memenangi gelaran.

"Ia menuntut pengurusan dan disiplin diri dalam kumpulan."