Kapten pasukan, Jordan Henderson, memuji persembahan profesional daripada England ketika meraih kemenangan 4-0 ke atas Malta tetapi menyatakan mereka perlu memperbaiki persembahan menjelang aksi kelayakan Piala Dunia berdepan Slovakia.

Harry Kane menjaringkan dua gol bagi membantu skuad kendalian Gareth Southgate itu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan F walaupun mereka terpaksa menunggu sehingga separuh masa kedua untuk menembusi pertahanan Malta di Stadium Nasional Ta' Qali, awal pagi tadi.

Kemenangan di tempat lawan meletakkan England memiliki kelebihan dua mata ke atas pencabar terdekat, Slovakia, menjelang aksi seterusnya di Stadium Wembley.

"Terdapat ruang yang harus diperbaiki. Kami akan menilai semula permainan kami selepas ini," katanya.

"Beberapa perkara positif boleh diambil daripada perlawanan ini."

Henderson, yang mengetuai England buat kali ketiga dalam kariernya, mengakui Malta menyukarkan England pada separuh masa pertama sehingga gol Phil Jones terpaksa dibatalkan.

Selepas jaringan daripada Kane pada minit ke-53, jaringan jarak jauh daripada Ryan Bertrand dan pemain gantian Danny Welbeck menjadikan kedudukan 3-0 pada masa kecederaan.

Kane mencetak gol kedua peribadinya sebelum tamat perlawanan bagi memastikan kemenangan 4-0 buat England.

"Sukar untuk menembusi mereka. Kami tidak memiliki peluang untuk meraih jaringan.

"Kami bermain dengan penuh kesabaran dan jaringan pembukaan Kane merupakan momentum yang baik untuk kami meraih kemenangan dalam perlawanan ini."