Real Madrid tidak mampu mencari pengganti Cristiano Ronaldo dan perlu membina semula pasukan tanpanya, kata bekas pertahanan, Michel Salgado.

Ronaldo yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Real melengkapkan perpindahan bernilai RM529 juta ke Juventus kelmarin setelah bersetuju dengan kontrak selama empat tahun.

Eden Hazard dan Mohamed Salah merupakan antara pemain yang dikatakan berpotensi untuk menggantikan tempat kapten Portugal itu dan sebelum perpindahan Ronaldo dilengkapkan, Real telah menafikan dakwaan cuba menghubungi gandingan Paris Saint-Germain (PSG), Neymar dan Kylian Mbappe.

Bagaimanapun, Salgado berpendapat pengendali baru Los Blancos, Julen Lopetegui, perlu mengelak daripada mendapatkan bintang terkemuka yang lain dalam usaha untuk mencari pengganti Ronaldo.

"Ronaldo tidak boleh digantikan. Menjadi satu kesilapan apabila cuba menggantikannya kerana anda tidak boleh mencari penggantinya secara individu," kata Salgado.

"Anda hanya perlu membina semula pasukan, mungkin bukan menerusi seorang pemain tetapi mengikut sistem yang tepat.

"Hazard mengharungi Piala Dunia yang menarik, Neymar adalah pemain yang memberikan perbezaan dan saya pasti peminat di Santiago Bernabeu akan menyukainya. Siapa sahaja akan menjadi sangat penting."

Ronaldo menjelaskan dalam surat terbukanya kepada laman web rasmi Real Madrid bahawa dia memerlukan pentas baru dalam kariernya.

"Dia telah mencipta satu era di Real Madrid selama sembilan tahun," tambah Salgado.

"Semua peminat Real akan bersedih dengan perpindahan itu. Dalam masa sama, ia adalah keputusan peribadi.

"Ucapkan saja terima kasih buat "El Bicho" di atas sumbangan yang diberikannya. Saya mengucapkan selamat maju jaya buatnya kecuali ketika berdepan Real Madrid."