Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini menerima arahan daripada Kerajaan Malaysia untuk tidak membenarkan skuad bola sepak negara terbang ke Pyongyang, Korea Utara, bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu negara itu pada 28 Mac ini.

Arahan berkenaan telah dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, supaya skuad Harimau Malaysia tidak mengambil bahagian atas faktor keselamatan.

Keputusan Kerajaan Malaysia dibuat selepas perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini.

Khamis lalu, FAM telah menerima surat awal daripada Wisma Putra yang ditandatangani Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang menyatakan bahawa venue perlawanan sulung Kumpulan B di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang itu dijamin selamat tetapi sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Namun, keputusan Kerajaan Malaysia untuk mengusir keluar Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, Sabtu lalu, dilihat telah menjadikan situasi semasa tidak selamat untuk warga Malaysia berkunjung ke Korea Utara buat masa ini.

Berdasarkan arahan terbaharu Kerajaan Malaysia menerusi surat yang diterima hari ini, FAM telah pun menghantar surat kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk sekali lagi memohon supaya venue perlawanan tersebut ditukar dari Pyongyang ke tempat lain, iaitu gelanggang berkecuali, atas dasar keselamatan.

Hamidin turut menghubungi Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John, bagi memaklumkan harapan FAM supaya AFC memberikan pertimbangan sewajarnya dan membuat keputusan segera mengenai venue baharu perlawanan tersebut bagi memudahkan persiapan perjalanan skuad Harimau Malaysia yang akan memulakan latihan pusat pada 13 Mac ini.