Jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada, menyifatkan barisan negara kini lebih bersedia untuk aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Hong Kong malam ini selepas latihan pusat yang lebih panjang berbanding sebelum aksi kelayakan pertama dengan Lubnan, Jun lalu.

Bagi Vingada, beliau kini lebih memahami pemain dan juga percaturan taktikal sesuai buat pasukan.

Vingada percaya pemain juga akan turun dengan keyakinan lebih tinggi dalam misi wajib menang ke atas Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka.

"Sudah tentu kem latihan ketika ini lebih bersedia dengan persiapan agak lama dan lebih gigih. Sebagai pasukan antarabangsa, kita perlu bersedia untuk perkara sebegini.

"Ini bukan pengorbanan tetapi kebanggaan kerana berada di sini. Kem ini mengambil masa yang panjang dan ia memberikan masa yang lama untuk bersama pemain," katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Radzak, melontarkan nada sama seperti jurulatih itu.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu percaya aksi lebih ampuh akan dijelmakan skuad negara kali ini.

"Ia memberikan kelebihan kepada kami untuk membentuk persefahaman. Itu yang penting.

"Pada kali ini juga, ia memberikan masa yang cukup untuk saya dan rakan-rakan. Kami tidak boleh lagi memberi alasan untuk tidak beraksi baik esok (malam ini)," katanya.