Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AC Milan, Marco Fassone, berkata tiada sebarang rundingan dibuat bagi mendapatkan pemain tengah Bayern Munich, Renato Sanches, ekoran pasukan itu meletakkan harga yang tinggi.

Namun, mereka sedia berbincang seandainya kelab gergasi Jerman itu sanggup merendahkan tawaran mereka.

Sanches mencuri tumpuan dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) baru-baru ini, namun pemain berusia 19 tahun itu dijangka bakal berhijrah selepas hanya membuat sembilan penampilan di bawah kendalian Carlo Ancelotti, musim lalu.

Milan dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemain itu secara pinjaman untuk dua musim dengan pilihan untuk membelinya dengan bayaran GBP35 juta (RM196 juta) pada 2019 tetapi Fassone mendedahkan permintaan Bayern terlalu tinggi.

"Buat masa ini tiada sebarang rundingan," Fassone bercakap kepada Sky Sport Italia.

"Kami memiliki hubungan baik dengan CEO Bayern, Karl-Heinz Rummenigge. Kami telah berbincang beberapa kali tetapi buat masa ini nilai diletakkan terhadap pemain itu agak tinggi.

"Tetapi jika situasi itu berubah bulan depan, kami sedia berbincang."

Milan ketika ini sedang menjalani revolusi baru selepas pemilik baru dari China membuat rombakan besar-besaran.

Leonardo Bonucci, Lucas Biglia, Andre Silva, Hakan Calhanoglu, Ricardo Rodriguez, Mateo Musacchio, Andrea Conti, Franck Kessie dan Fabio Borini telah pun tiba di San Siro.

Penyerang Torino, Andrea Belotti, turut dikhabarkan bakal ke Milan dengan Carlos Bacca akan ditunjukkan jalan keluar.