Bekas penyerang Barcelona, Gerard Deulofeu, percaya perbandingan dengan Lionel Messi pada awal kerjaya menjejaskan peluangnya untuk berjaya di kelab gergasi LaLiga itu.

Deulofeu, 23, adalah sebahagian daripada skuad Sepanyol selepas memperagakan aksi mengagumkan sejak berpindah secara pinjaman ke AC Milan dari Everton pada Januari lalu.

Dalam tempoh remaja di Barca, dia menghabiskan masa dipinjamkan ke Everton dan Sevilla sebelum melengkapkan perpindahan kekal ke kelab Liga Perdana Inggeris itu pada 2015.

Deulofeu berkata perbandingan dengan bintang Barca dan Argentina, Messi, mencipta harapan yang tidak munasabah untuknya di kelab itu.

"Ia adalah lebih berbahaya berbanding bermanfaat," katanya kepada Forza Milan.

"Biasanya saya tidak membaca surat khabar tetapi saya ingat tajuknya baik dan ia menjejaskan saya kerana terlalu tinggi harapan kepada saya daripada peminat Barcelona.

"Hanya ada seorang Messi."

Deulofeu hanya membuat enam penampilan kompetitif untuk Barcelona sebelum lebih berjaya di Everton, Sevilla dan kini Milan.