Hamidin bisa mengkritik, bisa dikritik, kata Rizal

By Staff Writer 4 April 2018 5006
Hamidin bisa mengkritik, bisa dikritik, kata Rizal
Pemerhati bola sepak negara, Rizal Hashim, menganggap kenyataan 'muncul presiden atau selamat tinggal FAM' daripada Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, sebagai bayangan jelas legasi yang bakal dibawa badan induk itu selepas ini.

Ramai yang beranggapan apa yang berlaku dalam FAM ketika ini adalah pelan terancang yang cuba dibawa oleh sesetengah pihak.

Namun, melihat daripada sudut positif, badan bola sepak negara itu mampu berubah wajah andai perancangan tersebut mengikut kepada apa yang telah ditetapkan.

Melihat keseimbangan hubungan di antara Hamidin dan Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia, (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sudah jelas kata sepakat yang mampu dicapai di antara dua badan itu.

"Ini akan membawa satu kelebihan kepada Hamidin jika beliau menjadi presiden, kerana satu, beliau orang biasa, bisa mengkritik dan bisa dikritik.

"Kedua, harus melaksanakan visi dan misi dengan jelas supaya memastikan ranking pasukan negara tidak merudum," kata Rizal.

Hamidin menerusi kenyataannya pada Isnin lalu berkata jawatan presiden adalah destinasi terakhirnya sambil menjelaskan Kongres FAM pada 14 Julai nanti bakal menentukan sama ada beliau masih kekal berada dalam badan induk bola sepak itu atau sebaliknya.

Tidak hairan beliau berani mengambil risiko dengan mengeluarkan kenyataan seperti itu, ditambah dengan amaran halus yang disuarakan pemangku presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, agar semua barisan exco perlu bersatu dalam membentuk pembaharuan yang cuba dibawa.

"Jika ada pencalonan untuk sebarang individu, mereka haruslah datang daripada sistem yang sama," kata Rizal.

"Kalau mereka di luar sistem untuk diterjunkan ke kancah ini, sudah tentu ia akan membawa kesukaran kerana mereka tidak memahami dinamik dan sepak terajang politik bola sepak tempatan. 

"Sebab itu, saya percaya Hamidin mengambil risiko ini kerana beliau percaya beliau ada harapan cerah untuk menjadi presiden FAM menggantikan Tunku Ismail," katanya lagi.
 

About Author

Staff Writer

Comment