Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menerima surat pengesahan untuk bertanding jawatan presiden daripada Datuk Hamidin Mohd Amin dan Tan Sri Annuar Musa selain surat penolakan daripada Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Ini membawa maksud tidak akan ada sebarang penambahan calon menjelang tarikh akhir pencalonan esok.

Hamidin dan Annuar mengesahkan penglibatan mereka selaku calon presiden FAM dalam kongres yang akan berlangsung pada 14 Julai depan.

Bagaimanapun, kedua-dua calon ini masih boleh membuat perubahan saat-saat akhir sekiranya mahu berbuat demikian.

"Kedua-dua calon ini masih boleh menarik diri sebelum Kongres FAM dijalankan atau memikirkan semula untuk terus bertanding," kata Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Yusoff secara jelas tidak mahu sebarang perebutan berlaku untuk jawatan presiden kali ini bagi menjurus kepada keharmonian dalam persatuan.

Kenyataannya itu turut bersandarkan kepada jumlah pencalonan yang begitu ketara di mana Hamidin mendapat 18 daripada 20 pencalonan manakala Anuar hanya satu pencalonan.