Bekas pemain antarabangsa Jerman, Dietmar Hamann, menyifatkan komen Philipp Lahm terhadap pengurusan Joachim Low dalam pasukan kebangsaan sebagai "tidak sopan dan prihatin" sambil mendedahkan bekas bintang Bayern Munich tersebut mungkin berminat untuk melatih Die Mannschaft.

Lahm mendesak Low untuk "mewujudkan budaya membuat keputusan yang lebih tegas dan jelas" dalam artikel yang diterbitkan di LinkedIn, menyeru ke arah "kepimpinan yang lebih tegas" agar dapat membantu Jerman menawan semula kejayaan seperti ketika beliau bertindak sebagai pemain.

Bekas tonggak Bayern Munich itu, yang mengetuai Jerman menjulang Piala Dunia 2014 di bawah Low, berkata jurulatih itu perlu mengubah "gaya kepimpinan secara keseluruhan sekiranya dia ingin mengulangi kejayaan", begitupun Hamann mengesyaki motif tersembunyi di sebalik rencana tersebut.

"Untuk memberitahu apa yang perlu Low lakukan, saya menganggap ia tidak sopan dan prihatin," kata Hamann kepada Sky Sports, merujuk kepada Low yang membantu pembangunan Lahm sebagai pemain Jerman di antara 2006 dan 2014.

"Saya rasa kenyataan itu tidak wajar untuk sebelah pihak sahaja kerana jurulatih kebangsaan ketika ini mungkin akan diangkat selaku jurulatih Jerman paling berjaya, bahkan beliaulah yang meletakkan Philipp Lahm di bahagian tengah, posisi yang dihajatinya.

"Saya tidak fikir ia adalah tindakan yang wajar setelah anda melalui tempoh yang berjaya bersama seseorang selama 10 tahun. Saya juga percaya bahawa Jogi Low memainkan pengaruh besar dalam kerjaya Lahm dalam pasukan kebangsaan dan Bayern."

Selepas peristiwa mengecewakan Jerman dalam Piala Dunia di Russia, di mana mereka tersingkir di peringkat kumpulan, Low menyatakan dia akan meneruskan peranannya dan mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) di atas keyakinan mereka terhadapnya.

Ketika ditanya sama ada beliau menganggap Lahm berminat untuk menjadi jurulatih pasukan kebangsaan, Hamann berkata: "Keadaan semasa itu menjurus kepada (Lahm) memburu sesuatu tetapi saya enggan membuat apa-apa andaian."